mutakhir

3 aspek utama pelan pembangunan Belaga

Oleh Erika George

Belaga: Kerajaan negeri mempunyai pelan induk pembangunan daerah ini bagi masa akan datang .

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata, kawasan seberang Pekan Belaga akan dibangunkan dalam usaha meluaskan lagi pekan berkenaan.

"Tiga aspek utama yang akan dilaksanakan dalam pelan pembangunan itu ialah memajukan kawasan perumahan yang baharu, pusat komersil yang moden dan pembangunan susulan lain yang menuju ke Empangan Bakun," jelasnya.

Pelan pembangunan komprehensif ini akan menjadikan Belaga sebagai daerah yang maju setanding dengan daerah lain di negeri ini.

"Bukan sesuatu yang mustahil bahawa Pekan Belaga nanti akan mengecapi kemajuan sebagaimana Petra Jaya di Kuching, dan kita akan ada Belaga Jaya di masa hadapan," katanya ketika Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Belaga dan Perasmian Waterfront Belaga, di Pekan Belaga, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata, daerah Belaga bakal mempunyai masjid bernilai RM10 juta yang dijangka siap menjelang Oktober 2022.

Katanya, masjid itu akan memudahkan komuniti Islam di daerah ini mengerjakan ibadat solat serta aktiviti keagamaan.

"Kerajaan turut meluluskan pembinaan gereja di kawasan Apau Koyan yang turut menelan kos sebanyak RM10 juta," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 6:40pm
d