mutakhir

Surat UMNO sokong individu jadi PM ke-9 adalah palsu

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pejabat Presiden UMNO mengesahkan surat yang tular di laman sosial kononnya Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada seorang pemimpin parti pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan adalah palsu dan berniat jahat.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Mohd Sumali Reduan yang menegaskan, pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat terbabit seperti yang tular di laman sosial awal hari ini.

"Saya dan Pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga kepala surat, tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

"Penyebaran surat berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan serta berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO," katanya pada kenyataan tadi.

Terdahulu, tular di laman sosial berhubung satu surat sokongan kononnya daripada Presiden UMNO mendakwa menyokong seorang pemimpin pembangkang untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 7:37pm
d