mutakhir

Cawangan Universiti Tsukuba dijangka beroperasi 2023

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perancangan untuk menubuhkan kampus cawangan Malaysia oleh Universiti Tsukuba dari Jepun - kampus pertama di luar negara oleh universiti Jepun - berada di landasan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.

Rancangan asal ialah melancarkan kampus itu pada 2022 namun tidak dapat dilaksanakan susulan penularan pandemik Covid-19 sambil perbincangan di antara pihak Jepun dan Malaysia terus berlangsung, kata Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka, menambah tiada lagi halangan besar yang dijangka memandangkan kesemua pihak mahu menjadikan projek tersebut sebagai realiti.

Menelusuri kisah di sebalik cadangan penubuhan cawangan universiti Jepun di sini, Oka berkata, bidang pendidikan merupakan fokus utama hubungan dua hala Jepun-Malaysia sejak sekian lama, khususnya selepas Malaysia melancarkan Dasar Pandang Ke Timur yang bertujuan mempelajari pengalaman Jepun pada awal 1980-an.

"Tentunya perniagaan sangat penting, tonggak utama bagi hubungan dua hala. Namun, tidak kurang pentingnya ialah pendidikan dan pembangunan keupayaan sumber manusia. Di bawah Dasar Pandang Ke Timur, pelajar serta pegawai kerajaan Malaysia datang ke Jepun untuk melanjutkan pengajian atau menyertai program latihan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA)," katanya kepada Bernama.

Setakat ini, lebih 17,000 pegawai kerajaan Malaysia terlibat sejak program itu bermula dan selepas menamatkan pengajian atau program latihan di Jepun, mereka kembali ke Malaysia dan memainkan peranan utama dalam sektor awam dan juga perniagaan, menjadikan mereka "jambatan sebenar di antara Jepun dan Malaysia", kata Oka.

Sebagai balasan kepada inisiatif itu, Jepun menubuhkan dua institusi pendidikan/pembangunan keupayaan sumber manusia di Malaysia iaitu Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) pada 2011, iaitu sebuah fakulti di Universiti Teknologi Malaysia, dan Institut Teknologi Jepun-Malaysia (JMTI) yang ditubuhkan lebih awal pada 1998 - kedua-duanya berdasarkan perjanjian kerjasama kerajaan dengan kerajaan.

"Tujuannya ialah membawa pendidikan kejuruteraan Jepun ke Malaysia dan pada masa ini terdapat sembilan pensyarah dari Jepun bersama-sama 100 ahli fakulti mengajar lebih 1,000 pelajar Malaysia untuk peringkat ijazah pertama dan juga pascasiswazah di MJIIT," katanya.

Mengenai JMTI, Oka berkata, institusi itu menawarkan pengajian teknikal ala Jepun untuk pelajar Malaysia kerana pembangunan keupayaan sumber manusia, khususnya latihan vokasional, amat penting bagi pembangunan perniagaan.

"Ada banyak syarikat Jepun di negara ini dan yang mengoperasikan syarikat serta peralatan mereka ialah manusia. Justeru, tanpa sumber manusia berkelayakan yang mengoperasikan syarikat atau mesin, pelaburan yang dibuat tidak akan membuahkan hasil. Ini merupakan usaha yang kita buat untuk memperkukuh hubungan di antara pendidikan dan perniagaan," katanya.

Kewujudan asas yang kukuh bagi kerjasama pendidikan melibatkan kedua-dua negara inilah yang mendorong Jepun menyambut baik permintaan Malaysia agar ditubuhkan kampus universiti Negara Matahari Terbit itu di negara ini.

"Tsukuba merupakan sebuah universiti terkemuka dengan tiga pemenang Hadiah Nobel selain kecemerlangan akademiknya diakui di peringkat global," kata Oka.

Mengenai kampus Tsukuba di sini, beliau berkata, kampus tersebut akan dibangunkan di Universiti Malaya dengan memanfaatkan kemudahan universiti itu.

"Usaha ini memang menakjubkan kerana setakat ini tidak ada universiti Jepun yang menubuhkan kampus cawangan mereka di seberang laut. Penubuhan kampus ini adalah yang pertama oleh universiti Jepun, sekali gus merupakan pengiktirafan terhadap kualiti pendidikan Malaysia dari sudut pandangan rakyat Jepun," katanya.

Oka juga berkata penubuhan kampus cawangan Tsukuba di sini, selain MJIIT dan JMTI, mendekatkan pendidikan universiti Jepun dengan pelajar Malaysia berpotensi yang boleh mendapatkan pengajian tinggi berkualiti Jepun di Malaysia.

"Walaupun berada di Malaysia, pelajar dapat belajar seolah-olah mereka berada di Jepun. Inilah matlamat penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia," katanya.

Duta itu berkata penubuhan kampus tersebut yang merupakan wawasan Jepun, turut bermatlamat menarik pelajar dari negara serantau serta negara Islam ke Malaysia, mengambil kira hubungan kukuh Malaysia dengan negara-negara berkenaan, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia hab pendidikan di rantau ini.

"Kami akan meraikan ulang tahun ke-40 pelancaran Dasar Pandang Ke Timur pada 2022 dan pastinya kampus cawangan ini akan menjadi satu lagi pencapaian sebagai simbol kerjasama akan datang di antara Jepun dan Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 8:45pm
d