mutakhir

Pertama kali air masuk rumah [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Pelabuhan Klang: Beberapa rumah penduduk di perkampungan nelayan di Jalan Bagan Hailam , Pelabuhan Utara dekat sini, dimasuki air susulan fenomena air pasang besar yang melanda semalam.

Penduduk, Siau Heng Fook, 45, berkata, kawasan berkenaan sering dinaiki air jika berlaku fenomena berkenaan tetapi tidak sampai ke tahap masuk ke dalam rumah.

"Ini adalah kali pertama berlaku dalam tempoh 20 tahun dan nasib baik kami sempat mengemas barangan serta peralatan ke tempat yang lebih tinggi.

"Semalam, kawasan ini dinaiki air juga kerana ia terletak berdekatan dengan laut, bagaimanapun ia tidak sempat masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Mariam Halim, 37, berkata, dia menyedari air mula naik pada 6.45 pagi dan tidak menyangka parasnya lebih tinggi berbanding semalam hingga masuk dalam rumah.

"Saya dimaklumkan paras air pasang hari ini akan lebih tinggi berbanding semalam, saya fikir ia tidak begitu serius kerana cuaca baik serta tidak hujan.

"Bagaimanapun, saya tetap bersedia dengan menyimpan barangan seperti peti sejuk dan mesin basuh ke tempat yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan di sekitar kawasan berkenaan didapati air dilihat mula memenuhi kiri dan kanan Lebuhraya Baru Selat Klang Utara (SHAPADU) pada 6.50 pagi sehingga menyebabkan hanya satu laluan sahaja boleh dilalui kenderaan.

Beberapa jalan di kawasan perindustrian di sepanjang Jalan Bagan Hailam, Pelabuhan Utara juga dinaiki air dan masih boleh dilalui kenderaan.

Air pasang besar pagi ini merekodkan paras yang tertinggi iaitu 5.8 meter berbanding 5.7 meter yang direkodkan semalam.

Fenomena ini dijangka berakhir pagi esok dengan ketinggian paras air laut pada 5.7 meter pada 7.27 pagi.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 9:59am
d