mutakhir

Bayi 20 hari maut tersedak susu

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Bayi berusia 20 hari maut dipercayai akibat tersedak susu di Tanjung Kupang, Gelang Patah, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.07 petang itu, bayi perempuan berkenaan didapati tidak sedarkan diri oleh bapa angkatnya yang berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki itu kemudian menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayi berkenaan disahkan meninggal dunia.

"Ketika kejadian bayi itu dipercayai sedang menyusu di rumah sewa lelaki terbabit.

"Lelaki itu kemudian mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, bayi perempuan berkenaan dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 27 September lalu.

"Mayat dihantar ke HSA untuk tindakan bedah siasat, " katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 10:20am
d