mutakhir

Nuraina Erieka, Nik Intan Nabila dinobat Srikandi Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Keberanian dua kanak-kanak menyelamatkan adik mereka daripada terperangkap dalam kebakaran menerima Anugerah Srikandi Pahang 2020.

Nuraina Erieka Abdullah, 13, dan Nik Intan Nabila Nik Fauzi, 8, menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM2,000 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang

Datuk Seri ShahanizaShamsuddin di majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Pahang di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin.

Nuraina Erieka yang juga kanak-kanak kurang upaya lembam berjaya membawa keluar adik perempuannya berusia setahun tiga bulan yang terperangkap dalam bilik selepas rumah mereka di tingkat tiga Flat Taman Anggerik Desa, Jalan Beserah dekat sini, terbakar pada 9.30 malam, 23 September .

Dalam kejadian itu, Nuraina Erieka yang sudah turun ke tingkat bawah flat bagi menyelamatkan diri bergegas kembali ke rumahnya selepas mendapatinya adik bongsunya tiada.

Ketika kejadian, ibu dan bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu itu tiada di rumah.

Lebih membanggakan Nuraina Erieka yang juga anak sulung daripada tujuh beradik turut menerima Anugerah Hang Tuah dan Anugerah Srikandi Khas Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

Kebakaran berkenaan menyebabkan mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang inap desa seorang individu yang prihatin menumpangkan mereka sebelum mendapat rumah baharu.

Nik Intan Nabila pula menunjukan keberanian menyelamatkan adik lelakinya berusia lapan bulan ketika rumahnya mereka di Kampung Batu Hitam, Beserah terbakar pada 21 Mac tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang itu keluar melalui pintu belakang rumah untuk menyelamatkan diri dengan mendukung adiknya sambil dibantu jirannya.

Sementara itu, Shahaniza berkata, keberanian yang ditunjukkan dua kanak-kanak berkenaan perlu menjadi contoh kepada rakan sebaya mereka, tindakan pantas serta sanggup bergadai nyawa suatu yang membanggakan.

"Kerajaan negeri meletakkan kanak-kanak berkenaan sebagai ikon yang seharusnya menjadi kebanggaan semua pihak," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 10:25am
d