mutakhir

Dua maut, seorang parah kemalangan dua kereta [METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin

Sungkai: Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran simpang masuk ke Kampung Klah Baru, dekat sini, hari ini.

Kemalangan pada 11 pagi itu membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Myvi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamed Tahir Junus, 64, dan Nor Aini Mohd Sam, 56, berasal dari Rumah Awam, Jalan Ketoyong ,Tanjung Malim maut di tempat kejadian.

Sementara, pemandu kereta Perodua Myvi parah dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak bomba menerima laporan kemalangan terbabit pada 11.04 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor serta dibantu BBP Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pemandu dan penumpang kereta Proton Saga disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan kecemasan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan terbabit.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 3:30pm
d