mutakhir

Bot rosak, 4 pemancing selamat

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan empat pemancing selepas bot berkenaan dipercayai mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Merambong, Johor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan daripada seorang mangsa, Anuar Yusof, 30, yang melaporkan bot dinaiki mengalami kerosakan enjin, jam 4.59 petang, di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Pulau Merambong.

Menurutnya, kesemua mangsa berusia antara 23 hingga 34 tahun keluar memancing dari Jeti Kampung Pendas, Johor Bahru sekitar jam 12 tengah hari semalam.

"Enjin bot gagal dihidupkan ketika mereka ingin bergerak dan seorang daripada mereka terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

"Sebaik menerima laporan, Maritim Negeri Johor (MN Johor) terus mengarahkan sebuah bot Kilat 18 ke lokasi kejadian dan tiba dalam tempoh 20 minit, sebelum mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat serta memakai jaket keselamatan.

"Bot mereka ditunda ke Jeti Kampung Pendas oleh sebuah lagi bot rakan mangsa yang turut dihubungi oleh mangsa. Bot Kilat 18 mengiringi bot mereka yang ditunda sehingga tiba di jeti sekitar jam 7.06 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan memastikan bot atau kapal berada dalam keadaan yang baik.

"Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 4:15pm
d