mutakhir

Suami sering mengadu rindu keluarga

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: "Suami saya seorang periang dan penyayang, saya keliru mengapa suami tamatkan hidup begitu, sedangkan dia akan pulang 25 Oktober ini," kata seorang wanita berusia 35 tahun.

Suaminya adalah lelaki rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang maut selepas dipercayai terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di republik itu, Khamis lalu.

Wanita itu berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku malah mereka sempat berhubungan menerusi panggilan video beberapa jam sebelum dia ditemui maut di perkarangan sebuah apartmen di Bukit Batok, Singapura.

Katanya, suaminya juga berkelakuan seperti biasa dan menyatakan mengambil cuti sakit hari berkenaan (Khamis) kerana kedua-dua kakinya bengkak.

"Dalam panggilan video itu juga dia menyatakan akan pulang ke Johor Bahru 25 Oktober ini kerana sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dan diterima majikannya.

"Suami pernah beberapa kali mengadu rindukan keluarga terutama anak perempuan kami dan menyebabkan dia memutuskan untuk akhirnya berhenti kerja di Singapura, selepas 14 tahun bekerja.

"Cuma saya musykil dia ada hantar nombor tuan rumah beberapa jam sebelum dia ditemui tidak bernyawa Khamis lalu.

"Namun saya dan keluarga sangat keliru dengan tindakan dia terjun dari apartmen di sana, hingga kegembiraan saya untuk menyambutnya bertukar sedih dan kebingungan," katanya sebak ketika ditemui di rumah keluarganya hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kerja di samping merindui keluarganya, selepas terkandas di Singapura hampir lapan bulan.

Kisah lelaki berkenaan yang terjun dari apartmen tempat tinggalnya itu tular di Facebook sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, wanita itu berkata, dia dan keluarganya kini menunggu laporan daripada pihak berkuasa Singapura.

Katanya, walaupun timbul persoalan mengenai kejadian berkenaan, namun dia dan keluarga akan menunggu laporan rasmi pihak berkuasa republik itu.

"Pegawai penyiasat dari Singapura ada menghubungi saya untuk mendapatkan beberapa butiran lanjut.

"Saya dan keluarga juga menunggu butiran siasatan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan apartmen," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 4:37pm
d