mutakhir

Ismail Sabri tamat tempoh kuarantin

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan tamat tempoh kuarantin kendiri di kediamannya, hari ini.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram beliau, Ismail Sabri berkongsi gambar bersama cucunya, Jeanelle Nika Mandagie, 3, yang juga anak kepada Nina dan Jovian.

Malah, beliau sempat berseloroh dengan menggunakan terma 'lock' dalam keterangan gambar selepas ia menjadi trend sewaktu sidang medianya dari rumah disiarkan secara langsung di Facebook.

"Alhamdulillah, sudah bebas daripada kuarantin di rumah. Perkara pertama saya lakukan, jumpa cucu. Hari ini cucu 'lock' atuk," katanya menerusi keterangan pada gambar terbabit.

Terdahulu, pada 5 Oktober lalu, Ismail Sabri membatalkan sidang media perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan perlu membuat ujian saringan Covid-19, sekali gus memulakan kuarantin kendiri di rumah.

Langkah itu diambil beliau selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19 pada hari sama.

Zulkifli hadir pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan Covid-19 yang turut dihadiri beberapa anggota Kabinet termasuk Ismail Sabri.

Kuarantin kendiri turut dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dihadiri Zulkifli pada 3 Oktober lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 4:46pm
    d