mutakhir

Covid-19: Nilai Ro menurun, rakyat diseru duduk di rumah [METROTV]

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Nilai kebolehjangkitan (Ro) Covid-19 kini berjaya diturunkan kepada 1.5 berbanding 2.2 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia sememangnya lebih mencabar.

"Nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga 20 September lalu adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ia telah menurun kepada 1.5.

"Ini bermakna setakat ini usaha yang dijalankan dapat mengelakkan daripada peningkatan kes secara mendadak. Meskipun begitu, jika dilihat pada carta palang ini (iaitu jumlah kes positif Covid-19 yang dilaporkan setiap hari), didapati ia masih mengikuti garisan unjuran nilai R = 1.5. Oleh itu, boleh dijangkakan kes harian Covid-19 masih akan meningkat tetapi bukanlah secara mendadak," katanya dalam sidang khas menerangkan Ro terkini, sebentar tadi.

Noor Hisham berkata, segala usaha di lapangan mesti diteruskan dan dilipat gandakan termasuklah kawalan pergerakan harus diperketatkan.

"Rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah. Rantaian jangkitan mestilah diputuskan. Seperti yang disebut tadi, jika rantaian jangkitan dapat diputuskan ia akan mengawal penularan dan nilai R juga akan turun lebih rendah daripada 1.0 sehingga kurang daripada 0.3," katanya.

Untuk rekod, nilai Ro merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 5:35pm
    d