mutakhir

4 beradik positif Covid-19 di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Empat kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 13 tahun menjadi mangsa terbaharu Covid-19 di Sarawak apabila disahkan positif wabak itu, hari ini.

Mereka yang juga adik beradik iaitu tiga kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki disahkan dijangkiti wabak itu daripada ibu dan bapa mereka.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sebelum ini iaitu pada 6 Oktober lalu bapa kanak-kanak terbabit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah disahkan positif wabak berkenaan.

"Masa pendedahan kes ini adalah antara 2 hingga 6 Oktober lalu iaitu ketika bapa mereka menjalani kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain empat beradik itu, satu lagi kes dikesan di Sarawak hari ini membabitkan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruteknik swasta di sebuah hospital di Kuching.

"Dia mengalami demam dan selsema pada 15 Oktober dan menjalani saringan Covid-19 di sebuah klinik kerajaan pada 16 Oktober 2020.

"Keputusan ujian rT-PCR kes ini didapati positif pada 17 Oktober 2010 dan kes dikesan melalui aktiviti saringan individu yang bergejala," katanya.

Beliau berkata, kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 dan tidak mempunyai kontak kepada kes positif wabak itu.

Dengan lima kes yang dilaporkan hari ini, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang dikesan di Sarawak kini meningkat kepada 768 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 6:28pm
    d