mutakhir

Zoo Johor tutup hingga 15 November

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Operasi Zoo Johor ditutup sementara mulai hari ini sehingga 15 November depan bagi membolehkan kerja menaik taraf kandang dan kelengkapan haiwan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata penutupan operasi Zoo Johor itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penularan wabak Covid-19 atau berlakunya kes jangkitan di kawasan berkenaan.

"Penutupan sementara ini juga adalah susulan bagi membolehkan kerja menaik taraf yang lebih intensif dibuat selepas projek menaik taraf fasa pertama yang bermula 6 Julai lalu.

"Kerja menaik taraf kandang dan kelengkapan haiwan di zoo itu adalah membabitkan 12 sangkar dan kandang bagi burung Botak, buaya, badak, unta, tapir, harimau, singa, beruang matahari, chimpanzee, gajah, dan iguana.

"Untuk makluman, bagi projek tahun ini, kerja menaik taraf kandang dan kelengkapan haiwan yang dijalankan turut dibuat secara menyeluruh yang mana kali terakhir adalah hanya membabitkan kerja membaik pulih sangkar burung pada 2016," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut ,Ayub berkata sebanyak 320 hidupan membabitkan 83 mamalia, 135 reptilia, 14 primat, dan 88 unggas yang berada di Zoo Johor bagaimanapun tidak dipindahkan dan akan dijaga seperti biasa dengan kaedah pengasingan dan pemindahan yang terkawal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 7:01pm
    d