mutakhir

Lesap RM60,000 ditipu Datuk dari 'Bukit Aman'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seorang peniaga kerugian RM60,000 akibat ditipu lelaki bergelar Datuk yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman kononnya mahu membantu menyelesaikan hutang mangsa dengan Along.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 40 tahun yang memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dari sebuah syarikat pengutip hutang ketika berada di pejabatnya di Seksyen 13, di sini, pada 4 Oktober lalu.

"Menurut mangsa, dia ada membuat pinjaman dengan Along sebanyak RM200,000 sebagai pusingan modal perniagaannya pada 2017 dengan membuat bayaran bulanan tanpa gagal RM1,500 setiap bulan.

"Pada Mac lalu, mangsa memaklumkan dia tidak mampu membuat bayaran kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkannya sering diganggu dan diugut Along.

"Mangsa kemudian berkenalan dengan lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman sebelum dia menceritakan masalah kewangan dihadapinya kepada suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata suspek kemudian menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan cara menghubungi seorang lelaki tempatan dipercayai Along.

Katanya, suspek menghubungi Along dan berbincang kononnya dia akan menyelesaikan hutang mangsa.

"Mangsa kemudiannya dihubungi Along berkenaan yang memberitahu segala urusan pembayaran hutangnya mesti (dilakukan) melalui suspek. Dia (mangsa) yang percaya menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek," katanya.

Katanya, susulan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan menahan seorang berusia 36 tahun yang dipercayai Along pada 9.15 pagi, 12 Oktober lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek itu dipercayai terbabit dengan aktiviti kongsi gelap. Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952," katanya.

Tambahnya, polis kemudian menahan seorang lelaki bergelar Datuk berusia 43 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz jam 11.15 pagi, 16 Oktober lalu.

"Semakan mendapati suspek bergelar Datuk itu mempunyai empat rekod jenayah di Kuala Lumpur dan Selangor berkaitan kes penipuan. Malah, dia turut didapati pernah memiliki syarikat keselamatan.

"Suspek kedua itu pula direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952, Seksyen 420/170 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 8:15pm
d