mutakhir

31 ditahan mengadakan 'private party'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Polis menahan 31 individu tempatan selepas dipercayai mengadakan 'private party' di dua kediaman menerusi dua serbuan berasingan di Medini Utara, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan semua individu berusia 18 hingga 30 tahun.

"Pada serbuan pertama, polis menahan seramai 21 individu membabitkan 11 lelaki dan 10 wanita di sebuah kediaman kira-kira jam 7.30 malam.

"Pada serbuan kedua, polis menahan seramai 10 individu membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita di kawasan perumahan sama kira-kira jam 8.30 malam.

"Saringan awal air kencing mendapati semua individu positif dadah jenis methamphetamine, ketamine dan THC, selain itu polis turut merampas dua lampu strobe serta dua pembesar suara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, semua individu ditahan kerana melanggar Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020 bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 10:58am
d