mutakhir

Air pasang 'lintas' jalan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga menyebabkan sebahagian besar kiri dan kanan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang, di sini, dinaiki air, hari ini.

Menerusi perkongsian gambar di Facebook (FB) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), puluhan pengguna jalan raya dilihat memberhentikan kenderaan mereka apabila air membanjiri kedua-dua laluan.

Bagaimanapun, ada pengguna berani meredah banjir untuk melalui jalan itu terutama kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat.

"Air pasang telah melebihi had kebiasaan dan berlaku kesesakan perjalanan.

"Sila gunakan laluan alternatif buat sementara waktu," kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam, sekurang-kurangnya 12 rumah di tiga lokasi di daerah ini terjejas susulan fenomena air pasang besar berukuran 5.8 meter.

Media sebelum ini melaporkan lima daerah di Selangor diramal dilanda fenomena ini bermula September lalu hingga November depan.

Ia diramal berlaku pada 19 hingga 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah paras 5.8 meter.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 11:03am
d