mutakhir

Covid-19: SMK Simpang Bekoh tutup 7 hari

Oleh Amir Mamat

Jasin: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh diarahkan tutup selama tujuh hari bermula hari ini, susulan terdapat terdapat kes berkaitan kontak rapat pesakit Covid-19.

Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri, awal pagi tadi, susulan terdapat ibu bapa pelajar yang disahkan positif virus berkenaan, baru-baru ini.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, ketika dihubungi mengesahkan penutupan sekolah berkenaan.

Menurutnya, ia berikutan terdapat dua anak pesakit yang positif Covid-19 belajar di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pelajar sekolah terbabit sudah diarah melakukan ujian calitan di klinik kesihatan berhampiran.

SMK Simpang Bekoh mempunyai seramai lebih 700 pelajar.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memutuskan bahawa mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sehubungan itu penutupan SMK Simpang Bekoh dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

Sebelum ini, dua sekolah di daerah Alor Gajah iaitu SMK Lubok China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang ditutup bermula 15 Oktober lalu selepas dua pelajar disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 1:01pm
    d