mutakhir

Covid-19: Tiga lagi sekolah di Perak ditutup

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Tiga lagi sekolah di Perak diarahkan tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkuat kuasa hari ini berikutan beberapa murid dan pelajar disahkan dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Kebun, Parit Buntar; SK Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor.

Menurutnya, JPN mengarahkan kesemua sekolah berkenaan ditutup sehingga 25 Oktober ini.

"Bagi kes di SK Tanah Kebun, dua murid tahun satu dan dua disahkan dijangkiti, manakala di SK Klebang Jaya seorang murid empat turut disahkan positif.

"Di SMK Aminuddin Bakti pula seorang pelajar berusia 15 tahun disahkan positif.

"Surat arahan penutupan daripada JPN sudah dihantar kepada pihak sekolah bagi membolehkan kerja pembersihan dan nyahkuman dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau pra persiapan bina laluan konkrit ke puncak Gunung Semanggol, di sini, hari ini.

Sebelum ini, SK Lekir Batu 8, Sitiawan diarah tutup tujuh hari sehingga 14 Oktober lalu, manakala enam sekolah di Larut, Matang dan Selama yang turut ditutup tujuh hari sudah dibuka hari ini.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata, sebuah laluan khas untuk pacuan empat roda dijangka akan diwujudkan bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan di kawasan itu.

"Fokus utama kita adalah menjadikan Gunung Semanggol ini sebagai satu daya tarikan baharu di Perak.

"Ia amat sesuai untuk aktiviti mendaki dan paragliding," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 2:06pm
    d