mutakhir

Pengecualian denda, diskaun tunggakan cukai tanah dilanjutkan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Perak melanjutkan pengecualian denda lewat, selain pemberian diskaun bagi tunggakan cukai tanah dan bayaran premium tanah berkuat kuasa serta-merta sehingga akhir tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tawaran itu adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri (PREN) Fasa Ketiga bertujuan meringankan beban rakyat serta komuniti perniagaan dalam tempoh mencabar, kesan penularan Covid-19.

Beliau berkata, lanjutan itu susulan daripada tawaran sama yang diberikan bermula 21 Mei hingga 31 Ogos lalu di bawah PREN Fasa Kedua.

"Insentif lanjutan kali ini merangkumi pengecualian denda lewat bagi cukai tanah berulang untuk semua jenis hak milik sehingga 31 Disember ini.

"Selain itu, diskaun antara 15 sehingga 30 peratus diberikan bagi pembayaran untuk empat tahap tunggakan jika dibayar secara sekali gus untuk tempoh sama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bagi pembayaran tunggakan, diskaun 20 peratus diberikan bagi nilai di bawah RM500,000, manakala 25 peratus bagi tunggakan cukai tanah antara RM500,000 sehingga RM999,999.

Katanya, bagi tunggakan nilai tanah RM1 juta ke atas, diskaun diberikan sebanyak 30 peratus.

"Diskaun 15 peratus turut ditawarkan bagi mereka yang membayar tunggakan cukai secara ansuran sehingga 31 Disember depan," katanya. Katanya, diskaun antara 10 hingga 30 peratus juga ditawarkan ke atas bayaran premium tanah bagi Notis 5A dan 7G iaitu 10 peratus bagi premium di bawah nilai RM500,000 serta 15 peratus bagi premium antara RM500,000 sehingga RM1,999,999.

"Bagi premium bernilai RM2 juta hingga RM2,999,999, diskaun 25 peratus ditawarkan sementara diskaun 30 peratus adalah bagi nilai RM3 juta sehingga RM4,999,999.

"Premium berjumlah RM5 juta ke atas pula, ia memerlukan kertas pertimbangan khas ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK)," katanya

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, kesemua pemberian diskaun terbabit terhad kepada notis yang dikeluarkan bagi tahun semasa dengan pembayaran dibuat sebelum 31 Disember depan.

Katanya, ia bakal memberi impak kewangan sebanyak RM6.65 juta kepada kerajaan negeri.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 4:11pm
d