mutakhir

Kilang disyaki punca pencemaran bau

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor, awal pagi tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasil siasatan awal yang dilakukan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menemukan bau seakan-akan pelarut (solvent) yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, Rawang, bulan lalu.

Menurutnya, pencemaran juga berlaku di lokasi baharu dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca sebenar pencemaran.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air tercemar dan menghantarnya ke makmal. Kita sedang siasat punca pencemaran ini.

"Pencemaran kali ini tidak begitu serius dan kita sudah mengenal pasti dua ke tiga kilang yang akan menjadi fokus siasatan," katanya, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya, di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati kegiatan pencemaran dilakukan pada waktu malam, awal pagi dan hujung minggu.

"Walaupun JAS beroperasi 24 jam, kita tahu sepanjang sungai di kawasan ini luas dan tidak mungkin dapat dikawal sepanjang waktu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KASA tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka dalam tempoh terdekat.

"Kita akan bertindak tegas terhadap penjenayah (alam sekitar) ini dan JAS berterima kasih kepada penduduk yang banyak membantu menyalurkan aduan bagi membanteras kegiatan ini," katanya.

Media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurutnya, gangguan itu membabitkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 4:32pm
d