mutakhir

Dua suspek curi motosikal ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Dua lelaki yang memiliki rekod jenayah termasuk dadah ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan mangsa berusia 45 tahun memaklumkan motosikal Modenas Kriss MR1 milik anaknya hilang.

Katanya, motosikal itu diletakkan di bawah blok rumahnya di Taman Sri Manja, di sini pada 10 malam 2 Oktober lalu sebelum disedari hilang 9 pagi keesokkannya.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah teres, di sini, pada 11 pagi semalam, yang membawa kepda penahanan dua suspek berusia 33 dan 39 tahun.

"Ketika serbuan, kedua-dua suspek berkenaan sedang tidur dan menemui sebuah motosikal Honda EX5 serta dua motosikal Modenas Kriss MR1 dalam keadaan tidak sempurna di ruang tamu.

"Semakan mendapati ketiga-tiga motosikal itu tidak mempunyai rekod hilang. Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui satu lagi motosikal Modenas Kriss yang dilaporkan hilang dalam keadaan tidak sempurna di bahagian dapur.

"Selain itu, kami juga menemui rangka motosikal Modenas Kriss di bahagian dapur," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mengaku terbabit dalam kes curi motosikal terbabit serta tidak memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai enam serta tiga rekod berkaitan kes jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti pembabitan kedua-dua suspek terhadap kes curi motosikal di daerah ini.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 4:33pm
d