mutakhir

'Selamat jalan wiraku...'

Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

Lenggong: Bekas ketua kampung yang pernah terbabit dalam pertempuran ketika pengganas komunis menyerang Kampung Bukit Sapi, dekat sini, 68 tahun lalu, meninggal dunia, 8.30 malam tadi.

Mat Deli Alang Ibrahim, 85, yang terbabit dalam pertempuran itu ketika berusia 17 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di rumah anak perempuannya, Azizan, 59, akibat sakit tua.

Anak lelakinya, Azman, 58, berkata bapanya yang berjalan menggunakan tongkat sejak lebih setahun lalu, bertambah uzur selepas patah kaki akibat terjatuh di dalam rumah lebih sebulan lalu.

Katanya, sejak itu, arwah tinggal di rumah anak perempuannya di Kampung Tersusun, Bukit Sapi hinggalah meninggal dunia.

"Sakitnya semakin ketara sejak sebulan lalu, sejak patah kaki kirinya akibat terjatuh di dalam rumah di Kampung Tengah Bukit Sapi.

"Selepas jatuh dan patah kaki, kami bawa dia tinggal di rumah kakak saya," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Bukit Sapi, hari ini.

Allahyarham Mat Deli atau dikenali dengan nama Anuar membantu membawa peluru senapang patah bapanya, Alang Ibrahim Itam ketika terbabit dalam pertempuran dengan gerombolan komunis pada 13 Mei 1952 itu.

Pertempuran berlaku apabila 200 pengganas komunis mengepung kampung berkenaan dan hanya 10 penduduk sahaja memiliki senjata api manakala selebihnya bersenjatakan pedang, parang, sabit dan lain-lain.

Bagaimanapun, komunis berundur selepas enam anggota mereka dibunuh penduduk dan ramai lagi cedera selain banyak senjata mereka dirampas penduduk.

Pertempuran berlaku selama beberapa jam mulai selepas Subuh itu menyebabkan dua penduduk terkorban dan dua lagi parah.

Allahyarham Mat Deli yang kematian isterinya, Saudah Mat Taha pada 1982 dan mempunyai 11 anak sebelum ini pernah menceritakan kisah pertempuran itu yang disiarkan Harian Metro pada 3 September 2019.

Berita berkaitan

'10 orang lawan 200'

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 5:52pm
d