mutakhir

Hanya di zon hijau sahaja

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan semua masjid dan surau di daerah Sabak Bernam untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu berkuat kuasa hari ini sehingga 1 November.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata, kebenaran itu diberi berdasarkan kepada faktor geografi dan keadaan semasa Covid-19 yang mana daerah itu berada dalam zon hijau.

"Bagi maksud kebenaran ini, bilangan jemaah solat fardu Jumaat adalah dihadkan kepada 23 orang pegawai dan ahli jawatankuasa bagi masjid dan 16 pegawai dan ahli jawatankuasa bagi surau Jumaat.

"Jumlah yang sama juga dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu," katanya.

Beliau berkata, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor bermula dari 14 hingga 27 Oktober serta perkembangan kes jangkitan Covid-19 yang tidak menentu, JAIS menetapkan

untuk tidak membenarkan solat fardu Jumaat dilaksanakan di masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah yang dikategorikan zon kuning dan zon merah.

Katanya, zon kuning membabitkan daerah Kuala Selangor, Sepang, Hulu Selangor manakala zon merah membabitkan daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Gombak.

"Hanya enam orang sahaja dari kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau," katanya.

Shahzihan berkata, dengan ketetapan itu, semua majlis akad nikah di masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang dibenarkan sebelum ini adalah ditangguhkan bagi daerah yang dikategorikan zon kuning dan merah.

Bagaimanapun katanya, bagi akad nikah yang perlu dijalankan di zon hijau boleh diteruskan di PAID Sabak Bernam selepas mendapat kelulusan khas dari Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

Jelasnya, JAIS juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perubahan kepada ketetapan ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 8:13pm
    d