mutakhir

Masalah air, Sultan Selangor zahir dukacita

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang bukan sahaja terpaksa bergelut dengan wabak Covid-19 tetapi kini berdepan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda sudah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air sejak tahun 2009.

Katanya, Sultan Selangor mahu supaya masalah air ini tidak dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.

"Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air sudah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 8 September lalu.

"Dalam surat tersebut, baginda sudah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi," katanya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang sudah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac lalu.

Mohamad Munir berkata, susulan perkembangan terbaharu ini, baginda menyeru rakyat supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

"Sultan Selangor amat menghargai usaha doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh- sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit Covid-19.

"Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang ditetapkan.

"Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam," katanya.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor turut meminta individu yang pernah berkunjung ke lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah, hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

"Tegas baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 9:32pm
d