mutakhir

13 zon kuning di Melaka

Oleh Hassan Omar

Melaka: Sebanyak 13 zon kuning dicatatkan di negeri ini berikutan peningkatan 16 kes positif Covid-19 semalam.

Selain Bukit Katil, zon lain ialah Ayer Molek, Tanjung Minyak, Tanjung Kling, Durian Tunggal, Rembia, Chohong, Batu Berendam, Duyong, Kesang, Ayer Panas, Machap dan Bukit Piatu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, 11 kes daripada keseluruhan kes itu membabitkan kluster Bukit, selain tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen, satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes saringan individu bergejala.

Katanya, kluster Bukit, membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

"Setakat 12 tengah hari semalam, 89 individu sudah disaring dengan 15 kes positif Covid-19, 73 negatif dan satu masih menunggu keputusan," katanya di sini, hari ini.

Setakat semalam, 30 individu sedang dirawat di Hospital Melaka, termasuk satu di wad unit rawatan rapi (ICU) manakala 264 sudah sembuh dan lima meninggal dunia.

Kes kumulatif adalah 299 dengan daerah Melaka Tengah mencatatkan kes paling tinggi sebanyak 147 dan diikuti Jasin (86) dan Alor Gajah (66).

"Semua kontak sudah dikuarantin selama 14 hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan senarai murid dan pelajar yang sekolah mereka ditutup, diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri," katanya.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin ditutup tujuh hari berikutan terdapat kes kontak rapat pesakit Covid-19.

Minggu lalu SMK Lubok Cina dan Sekolah Kebangsaan Telok Berembang di Lubok Cina, dekat sini juga diarahkan tutup selepas dua pelajar positif wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 12:34pm
    d