mutakhir

MPSJ kini Majlis Bandaraya [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) secara rasmi diisytihar menjadi Majlis Bandaraya berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengisytiharan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sukacita saya memaklumkan bahawa Sultan Selangor Darul Ehsan, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta segala daerah takluknya sudah memberi perkenan untuk MPSJ diisytihar menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkuatkuasa hari ini.

"Dengan perkenan oleh Sultan Selangor jua, menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan melalui Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Subang Jaya berkuatkuasa tarikh yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor di atas perkenan yang sudah diberikan.

Katanya, dengan pemasyhuran MBSJ, diharapkan pembangunan mapan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.

"Dengan izin Allah SWT, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 1:13pm
d