mutakhir

Insentif kecualikan cukai saringan Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) meminta pertimbangan kerajaan mengecualikan cukai tertentu kepada majikan yang sukarela melakukan saringan Covid-19 untuk pekerja.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, insentif pengecualian cukai untuk Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) itu juga sebagai galakkan kepada majikan untuk melakukan saringan ke atas pekerja.

Beliau berkata, selain itu insentif berkenaan adalah keprihatinan dan kesungguhan pihak kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Lebih-lebih lagi rakyat kini terbeban impak ekonomi jangka panjang jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlanjutan akibat unjuran statistik pesakit positif Covid-19 tidak menurun.

"MCCF menyokong penuh saranan kerajaan pekerja asing wajib menjalani saringan Covid-19, begitu juga kepada semua pekerja rakyat Malaysia.

"Namun adalah lebih baik kerajaan memberikan insentif untuk saringan Covid-19 itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bayaran dikenakan untuk saringan Covid-19 adalah antara RM250 ke RM280.

Halim berkata, kerajaan perlu berikan insentif seperti pelepasan cukai tahunan kepada majikan dan individu bagi menggalakkan semua orang melakukan saringan Covid-19.

Menurutnya, usaha kerajaan dalam mengekang dan menamatkan wabak Covid-19 perlukan kesedaran dan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata, pengecualian cukai kepada semua individu yang membuat bayaran kepada hospital swasta untuk membuat saringan Covid-19 dijangka menarik lebih ramai membuat ujian itu.

"MCCF turut menyediakan perkhidmatan untuk Program Saringan Covid-19 Komuniti Kelompok kepada semua komuniti.

"Ini melalui jaringan kerjasama dengan Hercules Medicare Sdn Bhd dan Makmal Mikrobiologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

"Sebarang pertanyaan dan temujanji secara atas talian berkenaan saringan boleh hubungi kami di talian 03-61786095," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 1:50pm
    d