mutakhir

Harap penyelesaian terbaik isu kapal tempur [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap keputusan terbaik dicapai bagi menyelesaikan isu pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk penugasan operasi dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, TLDM menghadapi kekangan aset yang ketara, namun aset sedia ada masih mampu untuk berlayar di lautan dan melakukan tugas hakiki demi menjaga kedaulatan perairan negara.

"TLDM menghadapi kekangan aset yang amat ketara, saya sudah sebutkan perkara ini (aset yang dimiliki TLDM usang dan sudah berusia puluhan tahun) beberapa kali juga.

"Dalam isu LCS, kita berharap kerajaan (dapat mencari penyelesaian terbaik) untuk meneruskan projek itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Diploma Program Recognition Of Prior Experiential Learning (RPEL) Kapal Diraja (KD) Pelandok Siri 1/2020 di Auditorium M Sidek Shabudin, Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata, mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima, namun sehingga 31 Julai lalu belum ada kapal disiapkan.

Katanya, beliau difahamkan, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat, sebelum keputusan dibuat mengenai hala tuju seterusnya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertahanan menimbang untuk menamatkan kontrak kontraktor yang membekal enam aset TLDM itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, ia adalah tiga cadangan hala tuju yang akan dikemuka ke Kabinet sebagai langkah menyelamatkan semula kontrak.

Terdahulu, majlis konvokesyen itu menyaksikan 148 graduan menerima Diploma Kemahiran Malaysia.

Mohd Reza turut melancarkan lima Buku Panduan Latihan TLDM iaitu Buku Panduan Jurulatih, Buku Panduan Pegawai Dalam Latihan, Buku Panduan Laskar Dalam Latihan, Buku Panduan Perajurit Muda dan Naval Terms and Ethics.

Program RPEL adalah kerjasama antara TLDM dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Kementerian Sumber Manusia yang berobjektif memastikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman anggota TLDM diiktiraf sektor industri negara, sekali gus menyediakan tenaga kerja mahir terlatih dalam pelbagai bidang.

"Pengiktirafan ini juga adalah setanding dengan laluan kerjaya berasaskan kelayakan akademik. Ini secara tidak langsung memberikan motivasi peningkatan kerjaya semasa dalam perkhidmatan dan kebolehpasaran apabila bersara kelak," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 1:57pm
d