mutakhir

Satu lagi sekolah di Perak ditutup kerana Covid-19

Oleh BERNAMA

Ipoh: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang, Parit Buntar ditutup selama tujuh hari mulai hari ini selepas terdapat kes jangkitan wabak Covid-19 di sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, sekolah itu akan dibuka semula pada 27 Oktober ini.

"Penutupan ini dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam notis pemakluman penutupan sekolah yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Perak, hari ini.

Penutupan terbaharu itu menjadikan lima sekolah yang ditutup setakat ini di Perak disebabkan terdapat jangkitan wabak Covid-19 membabitkan guru dan pelajar.

Empat sekolah lain ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung yang ditutup tujuh hari sejak 14 Oktober lalu, manakala tiga sekolah lain yang ditutup tujuh hari bermula semalam adalah SK Tanah Kebun di Parit Buntar dan SK Klebang Jaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, kedua-duanya di Ipoh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 2:40pm
    d