mutakhir

Ebit Lew hantar dua lori tangki air

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Simpati melihat keadaan penduduk di Selangor yang terkesan akibat ketiadaan bekalan air mendorong pendakwah terkenal, Ebit Lew turut membantu.

Menerusi hantarannya di Facebook (Fb) hari ini, Ebit memaklumkan dia menghantar dua lori tangki membawa air bagi membantu penduduk di kawasan pinggiran Batu Caves, Gombak yang terjejas dengan masalah itu.

Hantarannya itu mendapat pujian warganet dengan rata-rata mengucapkan terima kasih kerana bertindak pantas membantu mereka yang memerlukan.

"Sayu hati rasa. Selangor tiada air. Saya beli air dua lori besar untuk diagihkan.

"Dari 10 malam, kami keluar rumah uruskan sampai Subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di area (kawasan) pinggiran Batu Caves.

"Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana sekitar Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

Ebit turut meluahkan rasa sedihnya dengan apa yang berlaku terutama selepas melihat warga emas dan kanak-anak yang beratur untuk mendapatkan bekalan air.

"Paling sayu pak cik, mak cik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan.

"Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya.

"Ramai yang muda bantu yang tua. Pengerusi flat dan ahli jawatankuasa (AJK) semua kuat membantu bersama AJK surau. Ya Allah. Bantulah semua negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua," katanya.

Menurut Ebit, ramai yang meminta bantuannya termasuk pusat dialisis dan klinik.

"Insya-Allah doakan semuanya dimudahkan," katanya

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 2:44pm
d