mutakhir

Sajian ubi jadi pilihan musim hujan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Setiap kali musim hujan, ia akan membawa rezeki berganda buat peniaga ubi apabila makanan tradisional itu menjadi pilihan penduduk sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Saad Setapa, 63, yang berniaga ubi di Kampung Kedai Piah, di Ketereh berkata permintaan produk pertanian ini meningkat secara mendadak selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ramai pelanggan yang datang ke sini untuk mendapatkan ubi yang dijual dengan harga RM4 hingga RM8 sekilogram mengikut jenisnya.

"Saya mula menjual pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, ubi badak, keledek, keladi dan ubi itik sejak seminggu lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kebiasaannya apabila hujan, saya mampu menjual sehingga 100 kilogram ubi dengan keuntungan yang diperoleh RM400 sehari kerana ubi yang dijual mendapat sambutan menggalakkan berbanding ketika cuaca panas.

"Ubi yang dijual ada antaranya ditanam sendiri di atas tanah seluas 0.8 hektar yang terletak di hadapan rumah dan ada juga yang diambil dari penduduk di sekitar kampung," katanya yang sudah 40 tahun menjual ubi.

Bapa kepada lima anak berusia antara 22 hingga 30 tahun ini berkata, apabila hujan, kebanyakan orang tidak mahu keluar rumah dan bagi mengisi perut, ramai yang lebih berselera makan ubi kayu yang direbus dan dimakan dengan kelapa parut atau dimakan begitu saja.

"Biasanya saya mula menanam ubi pada bulan Mac, bergantung kepada tempoh matang jenis ubi, ada yang lambat matang, seperti ubi kayu yang mengambil masa selama lapan bulan untuk mendapatkan hasil," katanya yang turut dibantu anak bongsunya, Nurul Izza Saad, 22.

Sementara itu, seorang pelanggan Habsah Ismail, 41, berkata, ubi kayu rebus boleh dianggap sebagai makanan tradisi setiap kali tibanya musim tengkujuh.

"Bagi golongan muda sekarang mungkin ada di antara mereka yang kurang gemar memakan ubi kayu dengan adanya makanan moden lain yang menjadi pilihan.

"Namun bagi orang tua dulu, mereka akan tanam ubi kayu pada pertengahan tahun dan apabila masuk musim hujan antara November hingga Disember, ubi kayu akan dicabut dan ketika itu ia sudah berisi.

"Ubi kayu yang dibeli atau ditanam sendiri boleh dijadikan pelbagai juadah dan yang paling sedap ubi kayu yang direbus dimakan bersama perencah kelapa parut yang digaul dengan garam dan pengat manis," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 3:03pm
d