mutakhir

Majlis berskala besar di Melaka ditangguh

Oleh Hassan Omar

Melaka: Semua program berskala besar di negeri ini ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 16 kes semalam.

Ia antaranya membabitkan ceramah perdana dan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri selain peringkat masjid dan surau di seluruh negeri bagi membantu mengurangkan kebarangkalian peningkatan pandemik terbabit.

Sumber berkata, ia adalah sebahagian daripada langkah proaktif diambil bagi membantu mengurangkan kes positif Covid-19.

"Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Melaka semalam yang bukan setakat membincangkan program berskala besar seperti sambutan Maulidur Rasul, malah program lain.

"Sehubungan itu, pentadbir masjid dan surau diminta membantu memastikan tiada program sambutan Maulidur Rasul diadakan pada 29 Oktober ini, sebaliknya ia ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang bakal ditentukan," katanya hari ini.

Bagaimanapun, solat Jumaat dan fardu yang sedia ada masih dibenarkan diadakan di masjid dan surau tetapi harus dipastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Kesalamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber berkata, masjid yang dinasihati KKM supaya ditutup kerana ada jemaah tidak mematuhi SOP, tidak dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan fardu, tertakluk kepada siasatan KKM.

"Kelas takmir selepas solat Maghrib dan Subuh diteruskan seperti biasa hingga ada pengumuman mengenainya pada masa depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 3:16pm
    d