mutakhir

Dua ditahan cuba seludup arak

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menahan dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar susulan penemuan minuman keras tidak bercukai kastam di kawasan Gelang Patah, dekat sini, malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, pada mulanya, sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah 2 menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang, dekat sini.

Katanya, pada serbuan pertama sekitar 8.20 malam, pihaknya mengesan dan mengekori kenderaan Honda City 1.5 dalam keadaan yang mencurigakan dipandu oleh lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun, di Taman Nusaria 8/5, Gelang Patah.

"Pada serbuan kedua sekitar 8.50 malam hari yang sama, pasukan PPM Wilayah 2 mengesan dan mengekori kenderaan Hyundai Getz dalam keadaan yang mencurigakan dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun, di kawasan Nusa Perintis 8, Gelang Patah.

"Pasukan serbuan berjaya memintas kedua-dua kenderaan yang dipandu suspek. Hasil pemeriksaan, sebanyak 64 karton dan kotak arak seludup ditemui di dalam kenderaan pertama, manakala sejumlah 87 karton minuman keras di bahagian but dan tempat duduk belakang penumpang ditemui dalam kenderaan kedua.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan dua kenderaan berjumlah RM 282,281.70," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhd Zailani berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

"Penguatkuasaan dan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor akan dijalankan dari semasa ke semasa.

"Masyarakat diminta segera menghubungi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu penyeludupan," katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-237 22 21.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 3:43pm
d