mutakhir

Tiada petugas Penjara Seberang Perai positif Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Lebih 300 kakitangan dan kira-kira 700 banduan baharu Penjara Seberang Perai, Jawi dekat sini, yang ditempatkan di blok baharu penjara itu selesai menjalani ujian saringan Covid-19, semalam.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, ujian saringan kedua akan diadakan esok, sebelum prosedur itu kemudian diteruskan ke atas banduan lain di blok berasingan.

"Selepas selesai saringan kedua untuk kumpulan ini, ujian berikutnya akan dijalankan ke atas banduan lama yang tinggal di blok berbeza," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam Penjara Seberang Perai merekodkan pertambahan 14 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 86 kes.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pertambahan 14 kes itu hanya membabitkan banduan dan mereka diasingkan untuk dirawat di blok yang dijadikan wad sementara.

"Mereka dalam dipantau rapi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Dalam pada itu, katanya, barang keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) di penjara itu masih mencukupi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu selain petugas KKM yang turut bekerja keras menangani penularan dalam penjara.

Setakat ini, Pulau Pinang merekodkan dua kluster penjara iaitu Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Jawi dengan jumlah keseluruhan 485 kes positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 3:47pm
    d