mutakhir

Penangguhan mesyuarat untuk redakan suhu politik

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Keputusan menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional semalam bertujuan meredakan 'suhu politik' negara bagi memastikan fokus semua pihak kembali kepada usaha mendepani Covid-19, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau juga meminta pihak pembangkang memberi kerjasama dengan menangguhkan percaturan politik masing-masing bagi memberi ruang kepada kerajaan semasa meneruskan usaha menangani penularan pandemik itu.

"Mesyuarat (Muafakat Nasional) semalam semua tangguh sebab ikut prosedur operasi standard (SOP), mesyuarat PAS dan UMNO pun tangguh dan saya difahamkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pun tangguh... kita nak redakan suhu politik, elok semua tumpu kepada Covid-19.

"Dalam masa sama politik kena stabil termasuk di pihak pembangkang, kerajaan hari ini perlu diberi peluang untuk meneruskan usaha baik dalam tangani Covid-19," katanya.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pandemik Covid-19 mengatasi isu-isu lain kerana jangkitan tersebut bukan sekadar berkaitan kesihatan tetapi membabitkan keseluruhan aspek kehidupan manusia.

"Tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggugat atau mengganggu kerja kerajaan hari ini, sama ada di luar atau dalam Parlimen, jadi saya ingat isu politik perlu diredakan atau ditangguh dan tidak perlu timbulkan perkara yang tidak perlu," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 4:00pm
d