mutakhir

Rumah kongsi punca air Sungai Langat jadi hitam

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Punca air berwarna hitam serta berbau di sebuah kolam takungan banjir dan Sungai Langat, Selangor, bukan berpunca sisa kimia kilang memproses kertas terpakai di Mahkota Industrial Park di Banting, sebaliknya akibat limpahan air bukan najis dan kumbahan rumah kongsi.

Susulan itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sudah mengarahkan pihak kilang untuk melepaskan air larian hujan (storm water) dalam parit besar bagi membantu proses pencairan air berwarna hitam dalam kolam takungan di sebuah kilang yang beroperasi di Mahkota Industrial Park, Banting, Selangor.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata, selain itu pihaknya turut menambah bilangan pam untuk menyedut semua air bukan najis ke sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) kilang untuk dirawat sementara menunggu kelulusan kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir.

Katanya, sejak aduan berkaitan kolam takungan itu ditimbulkan terutama melalui media sosial, beberapa siri siasatan penguatkuasaan dijalankan terhadap kilang itu dan pihaknya mendapati ada tiga perkara yang diadukan oleh orang awam.

"Pertama, sisa kilang berwarna hitam dan berbau dilepaskan di dalam kolam takungan banjir ke Sungai Langat. Punca air berwarna hitam dan berbau bukanlah daripada efluen yang dilepaskan oleh kilang tetapi akibat kejadian limpahan air bukan najis (grey water) dan kumbahan rumah kongsi yang berlaku pada Ogos lalu iaitu sebelum tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang," katanya tadi.

Norlin berkata, efluen perindustrian daripada kilang memproses kertas terpakai dirawat di dalam SPEP dan sampel efluen yang diambil oleh JAS pada 17 Oktober lalu adalah jernih dan tidak berbau.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar sampel ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Kolam takungan banjir yang terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Langat adalah kolam yang dibina oleh syarikat yang membangunkan kawasan industri Mahkota Industrial Park, Banting bagi tujuan menerima kemasukan air larian permukaan (storm water) daripada sistem perparitan industri-industri yang terdapat di sekitarnya.

"Kolam ini didapati berbau akibat tiada pengaliran air (stagnant water), kolam menjadi semakin cetek dan dipengaruhi kemasukan air Sungai Langat sewaktu fenomena air pasang dan surut," katanya.

Berhubung isu kedua yang ditimbulkan iaitu sisa kumbahan rumah kongsi tidak diurus dengan baik, Norlin berkata, pada masa kini, kumbahan dari rumah kongsi dirawat menggunakan dua unit tangki septik dan dilakukan proses nyah enapcemar (desludging) oleh kontraktor berlesen pada setiap minggu.

"Tiada kumbahan yang dilepaskan ke mana–mana alur air dan air basuhan dari dapur dan air mandian pekerja (air bukan najis) daripada rumah kongsi dipam masuk ke sistem SPEP kilang kerana air bukan najis ini bersifat organik dan boleh dirawat oleh kilang.

"Langkah ini adalah sementara kerana rumah kongsi akan dirobohkan dalam tempoh dua bulan lagi dan rumah baharu akan dibina dalam kawasan kilang," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada isu ketiga yang ditimbulkan iaitu bunyi bising dan pencemaran udara sehingga menyebabkan gangguan kesihatan kepada penduduk setempat, Norlin berkata bunyi berkenaan terhasil daripada kerja pemindahan atau pemunggahan kontena di kawasan peletakan kontena (container yard).

"Peletakan kontena itu terletak dalam jarak 30 meter dari taman berkenaan. Bagaimanapun, kawasan peletakan kontena ini sudah dialihkan ke kawasan di luar kilang dan kini terletak lebih jauh daripada kawasan perumahan," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 4:33pm
d