mutakhir

8 warga emas positif Covid-19 berkait Kluster Alma [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Lapan warga emas di Pusat Jagaan Darul Hanan, Pongsu Seribu di sini, yang disahkan positif Covid-19 mungkin berkait Kluster Alma di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin mengesahkan perkara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak menunggu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, seramai 79 penghuni dan 33 kakitangan pusat jagaan itu menjalani ujian saringan Covid-19 susulan kes berkenaan.

Katanya, ujian itu dilakukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihaknya turut mengambil langkah pencegahan dengan mengetatkan laluan keluar masuk ke pusat terbabit.

"Setakat ini peralatan asas, kelengkapan mencukupi dan semua penghuni serta kakitangan tidak dibenar keluar atau masuk sehingga keadaan mengizinkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zakiyuddin berkata, lapan warga emas yang positif wabak kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Kejadian bermula apabila wanita berusia 69 tahun yang mendaftar masuk pada 12 Oktober lalu disahkan positif Covid-19. Manakala tujuh yang dijangkiti adalah kontak rapatnya," katanya

Tinjauan di pekarangan pusat itu mendapati beberapa kenderaan KKM masuk dipercayai bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 selain prosedur pencegahan lain.

Pusat Jagaan Darul Hanan berkeluasan 3.2 hektar dibiayai Yayasan Al Bukhary dikendalikan MAINPP bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 4:45pm
    d