mutakhir

Isu masalah air, rakyat Selangor kian 'panas hati'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Naik muak dan semakin panas hati. Itu perasaan diluahkan rata-rata penduduk Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit, Jeram, di sini, yang kecewa susulan masalah bekalan air yang melanda sejak Ahad lalu.

Lebih memeritkan, dua kampung ini terpaksa menunggu tiga hari sebelum bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi, Jumaat ini

Bagi mereka masalah pencemaran sungai yang berlaku ini mengulangi isu sama bulan lalu apabila penduduk terputus bekalan air lebih seminggu.

Salah seorang penduduk, Muhamad Zaidi Muhammed, 47, berkata, masalah itu memeningkan penduduk kampung khususnya golongan berkeluarga kerana terpaksa menunggu lori tangki untuk mendapatkan bekalan air.

"Bekalan air yang dibawa lima lori sejak pagi tadi (semalam) tidak mencukupi kerana ramai penduduk kampung berpusu-pusu untuk mendapatkan air.

"Selain itu, ada rumah yang jauh dari jalan utama menyebabkan penduduk terpaksa berulang-alik untuk mendapatkan bekalan air yang terputus sejak tengah malam kelmarin," katanya kepada Harian Metro tadi.

Beliau berkata, gangguan bekalan air tidak sepatutnya berlaku di negeri Selangor yang terkenal sebagai status negeri maju.

"Sudah tiba masa Kerajaan Negeri mengenakan hukuman lebih tegas ke atas pelaku yang mencemarkan sungai hingga menyusahkan jutaan pengguna.

"Kasihan kepada penduduk sebab dua kampung ini jauh ke dalam dan tiada alternatif untuk mendapatkan bekalan air bersih. Jalan terakhir adalah menunggu lori membawa bekalan air tiba ke sini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar kampung berkenaan mendapati penduduk sudah menyediakan tong dan bekas air di luar rumah untuk mendapatkan bekalan dari lori tangki.

Peniaga kedai makan, Nurul Huda Ajali, 19, berkata, dia terpaksa menutup kedai lebih awal susulan ketiadaan air untuk membasuh pinggan dan cawan kotor selain barang basah seperti ayam dan ikan.

Katanya, sekiranya masalah ini berlarutan ia sudah pasti menjejaskan aktiviti harian penduduk.

"Masalah air sudah beberapa kali berlaku. Kalau tiga hari air tiada, jadi kedai pun tidak dibuka selama tiga hari.

"Harap sangat bekalan air kembali pulih kerana sudah penat dengan masalah yang dilihat seperti tiada jalan penyelesaian. Gara-gara individu mencemarkan sungai, semua pihak terjejas," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:05pm
d