mutakhir

RM2 juta bukan kos beli 4 dron tetapi...

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Anggaran RM2 juta bukan harga tetap empat unit dron berteknologi tinggi model DJI Matrice 300 yang akan digunakan kerajaan negeri mulai bulan November hadapan bagi memantau pencemaran sungai di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal selain Islam, Hee Loy Sian sebaliknya berkata, angka itu termasuk beberapa kos lain seperti pembayaran gaji pekerja.

"RM2 juta itu hanya anggaran kasar, tambahan pula kos itu bukan setakat untuk empat dron semata-mata tetapi juga untuk kos setahun.

"Kos itu juga termasuk gaji sejumlah pekerja termasuk jurutera untuk pemantauan, ujian sampel air sungai siang dan malam 24 jam, penyelenggaraan, alat komputer/ komputer riba untuk 'real time monitoring' termasuk lesen perisian dan sebagainya.

"Apa yang yang penting, ia membabitkan pihak yang pakar untuk menganalisa ujian sample air," katanya ketika dihubungi wartawan tadi,

Loy Sian juga mengesahkan sudah ada pihak membuat tawaran kepada pihak kerajaan negeri malah kerajaan negeri sudah mempersetujuinya.

"Harga itu perlu dirunding lagi, kerajaan negeri menyasarkan harga sekitar RM1.7 juta hingga RM1.8 juta.

"Perkara ini akan dimuktamadkan bulan ini sebelum kerja-kerja memberi kebenaran pemantauan dijalankan," katanya.

Kelmarin Loy Sian mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi empat unit dron itu yang akan diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.

"Dron ini akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat... dron yang akan digunakan ini juga berkeupayaan untuk mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

"Malah ia juga dapat mengesan individu pada waktu malam termasuk memberi amaran awal jika terdapat aktiviti yang mencurigakan, dengan adanya teknologi ini kita jangka dapat cegah aktiviti pencemaran sungai di Selangor pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:15pm
d