mutakhir

APMM gagalkan cubaan seludup rokok di Semporna

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 226 karton rokok bernilai RM16,520 di Pulau Silungun, dekat sini, pagi hari ini.

Pengarah Maritim Zon Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan menerusi rondaan Ops Sejahtera selepas sebuah bot menggunakan enjin sangkut yang dikendalikan seorang lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan pada 6.30 pagi.

Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun bertindak terjun ke laut sebelum meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas barang yang ditinggalkan di dalam bot terbabit membolehkan anggota bertugas menemui tujuh bungkusan beg plastik mengandungi 226 karton rokok seludup pelbagai jenama.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot pam bersama enjin sangkut jenis Yamaha (15hp) dianggarkan berjumlah RM27,520 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norimmi berkata, pihak tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan itu didalangi sindiket dari negara jiran Filipina yang cuba menyeludup rokok ke Sabah menggunakan jalan laut,"

"Walaupun kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Besasar (PKPB) di daerah ini, APMM komited dalam menjalankan rondaan dan pemantauan di laut dari masa ke semasa bagi mengekang sebarang kegiatan menyalahi undang-undang termasuk aktiviti penyeludupan," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:36pm
d