mutakhir

Hospital medan ATM di Tawau mula beroperasi [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Hanya mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, memulakan operasi hari pertama hari ini bagi menyokong Hospital Tawau dalam menangani pandemik Covid-19.

Hari ini, seramai 10 pesakit sudah dipindahkan ke hospital terbabit dan kemasukan pesakit bukan kes Covid-19 akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Komander Hospital Medan ATM di Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata, pengoperasian fasa pertama di hospital itu membabitkan penyediaan kompleks wad dengan kapasiti 100 katil, enam wad lelaki dan wanita berbagai disiplin termasuk perubatan, pembedahan dan ortopedik serta ruang resusitasi dan prosedur, selain kemudahan asas untuk pesakit dan staf bertugas.

"Pembinaan hospital ini menggunakan konsep hibrid dengan mengguna pakai bangunan sedia ada iaitu di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau yang diubah suai bagi memenuhi keperluan semasa.

"Kejayaan mewujudkan hospital ini yang hanya mengambil masa selama tujuh hari adalah contoh terbaik komitmen semua pihak bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Bahary berkata, pihaknya kini giat mengadakan perbincangan bagi pengoperasian fasa kedua bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Hospital Tawau.

Hospital Medan yang terletak kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau itu dibina dengan kerjasama KKM dan ATM.

Ia bertujuan untuk menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes bukan Covid-19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam pelbagai disiplin dan dijangka beroperasi untuk tempoh tiga bulan.

Dengan inisiatif itu juga, Hospital Tawau boleh memberi tumpuan kepada rawatan pesakit Covid-19 yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3-5).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 6:49pm
    d