mutakhir

Gigih timba ilmu

Oleh Suliati Asri

Bukan mudah bagi seseorang yang bekerjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun, bagi Mumin Amsah, pembelajaran tidak dicapai secara kebetulan, tetapi harus dicari dengan semangat dan ketekunan.

Bakal menyambut hari lahir yang ke-50 pada November ini, Mumin beranggapan faktor umur bukan penghalang untuknya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dari Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2003, keinginannya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana terbatas kerana kekangan masa dan kesibukan tugas harian selaku Ketua Jabatan.

Mumin yang kini bertugas di Majlis Daerah Keningau sebagai Pegawai Eksekutif melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Open University Malaysia (OUM) Kota Kinabalu sejak September 2017.

Menurutnya, ketika mendaftar sebagai pelajar OUM tiga tahun lalu, beliau bertugas di Majlis Daerah Papar sebelum dipindahkan ke Majlis Daerah Keningau pada Disember 2018.

"Jarak perjalanan yang tidak mengambil masa lama antara faktor utama saya memilih melanjutkan pengajian di OUM.

"Selain itu, saya juga terinspirasi dengan dua anak yang sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di OUM Kota Kinabalu dan Keningau.

"Saya merasakan bidang itu sangat relevan dengan kerjaya dalam menguruskan pekerja di bawah seliaan selain meningkatkan pengalaman dalam bidang terbabit," katanya.

Tidak dinafikan banyak cabaran yang perlu dihadapinya terutama dalam mengimbangi masa antara pelajaran, kerjaya dan keluarga.

Justeru, apabila perlu menyiapkan tugasan yang diberi, Mumin berkata dia mengambil cuti tahunan.

"Saya sedaya upaya tidak akan mencampur adukkan kerjaya dan pelajaran. Jadi, saya akan mengambil cuti supaya tidak diganggu dengan kerja di pejabat.

"Langkah itu juga membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan tugasan," katanya.

Sepanjang bergelar pelajar, Mumin mengakui sebagai Ketua Jabatan, dia perlu hadir ke setiap majlis rasmi yang dianjurkan jabatannya.

Kadangkala, pertembungan antara majlis rasmi dan waktu peperiksaan memerlukan dia membuat pilihan.

"Seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan terputus, tepung jangan berselerak.

"Kebijaksanaan, kesabaran dan ketabahan hati memainkan peranan penting supaya tidak menjejaskan kedua-dua perkara tersebut," katanya.

Dalam waktu getir seperti itu, isterinya sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan pembelajaran.

"Saya beruntung kerana mempunyai isteri yang sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan.

"Bukan itu saja, dia juga setia menemani saya menghadiri kelas hujung minggu walaupun perlu menempuh lebih kurang 45 minit perjalanan dari Papar ke Kota Kinabalu," katanya.

Bagi yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai program yang ditawarkan, hubungi 03-7801 2000 / 012-303 9935 / 019-357 9074 / 019-266 8234, emel :enquiries@oum.edu.my atau layari www.oum.edu.my.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:00am
d