mutakhir

Kontak positif Covid-19 SK Seri Sentosa dikenal pasti [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan

Nibong Tebal: Guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, Jalan Victoria dekat sini yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 sudah dikenal pasti.

Sebahagian daripada mereka juga sudah menjalani ujian saringan berkenaan.

Murid yang positif itu dipercayai belajar di kelas pendidikan khas sekolah berkenaan.

Pejabat Pendidikan Negeri sudah mengambil pendekatan segera dengan mengenal pasti kontak rapat untuk tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti bagaimana murid berkenaan mendapat jangkitan.

"Bagaimanapun, hal itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa dan keadaan terkawal ketika ini," katanya.

Abdul Rashid berkata, sekolah itu mempunyai seramai 498 murid dan 57 guru.

Menurutnya, beliau tidak dapat mengesahkan berapa ramai yang sudah menjalani ujian saringan terbabit.

Katanya, pihaknya menasihatkan murid, pelajar dan ibu bapa agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa untuk memutuskan rantaian jangkitan sementara operasi sanitasi akan dibuat ketika sekolah ditutup.

Semalam, sekolah berkenaan diarahkan tutup selama seminggu susulan satu kes positif Covid-19 membabitkan seorang muridnya dikesan.

Pada 1 Oktober lalu, SK Janggus di Penaga, Kepala Batas turut ditutup selama lapan hari selepas seorang gurunya disahkan positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 1:39pm
    d