mutakhir

MTC di Penjara Pokok Sena mula beroperasi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pusat rawatan sementara atau Makeshift Treatment Center (MTC) di Penjara Pokok Sena yang dibina Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Penjara dan agensi lain mula beroperasi hari ini.

KKM dalam kenyataannya berkata, fokus utama MTC berkenaan bagi merawat tahanan dari pusat tahanan dan penjara di wilayah utara yang disahkan positif Covid-19 bagi kategori satu hingga empat.

"Tahanan positif Covid-19 yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Alor Setar (HAS) sebelum ini, akan dipindahkan secara berperingkat ke MTC.

"Sebagai permulaan, MTC ini boleh menampung sehingga 200 orang pesakit," katanya.

KKM dalam kenyataan itu berkata, perkhidmatan yang disediakan di MTC merangkumi perkhidmatan klinikal, wad pesakit, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dan juga perkhidmatan perubatan lain.

Katanya, antara agensi yang turut memberi bekerjasama dalam usaha mewujudkan hospital itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi Edgenta, Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Selain itu, agensi lain yang turut terbabit adalah Syarikat Air Darul Aman (SADA), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah.

"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 2:54pm
    d