mutakhir

21 SAR, tadika Islam ditutup

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sebanyak 21 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SAR) Integrasi KAFA dan tujuh tadika Islam di negeri ini ditutup sementara susulan penularan pandemik Covid-19.

Antara sekolah yang ditangguhkan operasi adalah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Hidayah Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, SRAR Ittifaqiah Batu 10 Lekir, SRAR Arshadiah Pasir Panjang Laut Seri Manjung, Madrasah Al Khairiyyah Islamiah Selama, SRAR Fadilah Islamiah Kuala Kurau, SRAR Al-Ehya' Addiniah Parit Buntar, SRAR Al Faizin Bagan Serai dan Sekolah Agama Rakyat Al-Taufiqiah Chemor.

Antara tadika yang ditutup pula adalah Tadika Islam Perak (TIP) Al-Hidayah Batu Kurau, TIP Al-Hashimiah Taiping, TIP An Nasriah Sitiawan, TIP Al-Amin Pengkalan Hulu, TIP Al-Hidayah Parit Buntar dan TIP Nurul Wardah Kuala Kurau.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, penangguhan operasi bagi kesemua sekolah itu bermula dari 14 Oktober lalu hingga 25 Oktober ini.

"Kita jangka kemungkinan akan ada lagi yang akan ditutup sebab ada beberapa lagi tempat pelajarnya menjalani ujian saringan.

"Jika kami menerima nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menutupnya, kita akan keluarkan pekeliling atau arahan untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui media di bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, ibu bapa dinasihati agar jangan panik kerana ia adalah prosedur biasa untuk menyekat penularan Covid-19.

"Semua pihak perlu bekerjasama untuk menyekat penularan pandemik Covid-19 ini, jadi sekolah berkenaan ditutup untuk tujuan pembersihan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta untuk kos pembersihan dan infeksi serta peralatan kesihatan terhadap sekolah yang terkesan.

"Setiap sekolah menerima RM2,500 bagi menjalankan pembersihan dan disinfeksi, ada yang sudah selesai menjalankan kerja pembersihan dan ada juga yang masih dalam proses," katanya.

Katanya, selain itu pihaknya turut menyeru agar sekolah yang mendapat peruntukan untuk menjalankan sendiri aktiviti disinfeksi.

"Mana-mana sekolah juga diingatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menutup sekolah sekiranya perlu bagi mengekang penularan dan memudahkan aktiviti pembersihan dan disinfeksi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 3:02pm
    d