mutakhir

Pencemaran Sungai Gong, dua beranak ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua beranak yang juga pengarah syarikat ditahan di Rawang hari ini susulan kes pencemaran air Sungai Gong yang menyebabkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan terjejas Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, mereka berusia 31 dan 62 tahun ditahan jam 11.30 pagi ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, enam pekerja terdiri dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar turut ditahan.

"Mereka akan direman esok di Mahkamah Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pihak Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 tengah malam 19 Oktober lalu.

Berikutan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Pada jam 2.00 pagi, beberapa LRA yg lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera jentera pembinaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sehingga 6 pagi hari ini, sejumlah 1,077 atau 83 peratus kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya.

Peratusan pemulihan mengikut wilayah setakat ini adalah Petaling (94 peratus), Klang/ Shah Alam (54 peratus) Gombak (71 peratus), Kuala Lumpur (89 peratus), Kuala Langat (50 peratus) dan Kuala Selangor (99 peratus).

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 3:31pm
d