mutakhir

Alvin miliki peralatan komunikasi untuk Macau Scam

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dalang sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian termasuk Goh Leong Yeong @ Alvin dikesan menjadikan pusat beli-belah Plaza Low Yatt di Bukit Bintang, di sini, sebagai 'markas' untuk aktiviti haram mereka.

Ini berikutan Alvin yang kini diburu pihak berkuasa adalah vendor keselamatan di pusat beli-belah itu sekali gus memiliki rangkaian peralatan telekomunikasi dan tekenologi.

Ia sekali gus membolehkan suspek mempunyai barangan yang diperlukan untuk kegunaan sindiket antarabangsa dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat panggilan (calling centre) Macau Scam, judi dalam talian dan penipuan pelaburan mata wang asing (forex).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, dengan kelebihan dimiliki Alvin, maka dia mudah mendapatkan barang yang diperlukan sindiket antarabangsa.

"Ya, peranan Alvin dan Addy Kanna sebagai koordinator adalah mudah berdasarkan kepentingan Alvin di Plaza Low Yatt.

"Pihak polis tidak menolak kemungkinan kelebihan yang dimilikinya maka dia menjadi pilihan sindiket antarabangsa," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Huzir berkata, polis turut memantau rapi dan melakukan pemeriksaan di pusat beli-belah berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Alvin.

"Pada masa ini, usaha memburu Alvin Goh sedang giat dijalankan selepas melarikan diri semasa dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Peranan Alvin dan Addy Kanna sebagai koordinator adalah menyediakan kelengkapan komputer, internet, telekomunikasi dan kediaman serta logistik bagi memudahkan kegiatan Macau Scam dan judi dalam talian di China dapat dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 4:41pm
d