mutakhir

MB Selangor tak ambil 'pusing' kecaman isu air [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Walau dicemuh, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kekal positif dalam menangani masalah pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri ini.

Beliau memberitahu memahami situasi dihadapi sebilangan pihak yang marah dengan insiden gangguan bekalan air dan kerajaan negeri harus tenang dalam menangani permasalahan itu.

"Dari kita tuding jari dan keluarkan teori konspirasi, lebih baik kita tenang dan selesaikan masalah.

"Mereka memang marah tapi kita mahu selesaikan masalah ini secara sistematik dan bukan hanya gimik," katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, tadi.

Beliau menjawab soalan berhubung tuntutan beberapa pihak yang mahu beliau meletak jawatan susulan isu pencemaran yang kerap berlaku di negeri ini.

Dalam pada itu, susulan gangguan bekalan air, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa dukacita berikutan rakyat negeri ini perlu bergelut dengan gangguan bekalan air serta penularan wabak Covid-19.

Mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan baginda malah usaha turut dipergiatkan sejak 8 September lalu bagi melakukan pemantauan khususnya di kawasan 'hotspot'.

"Malah, bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membantu pemantauan sungai ini, kami juga akan menyediakan tawaran RM20,000 kepada pemberi maklumat bagaimanapun maklumat itu mesti berguna untuk memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan tindakan," katanya.

Pada Isnin lalu, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah di kesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi.

Pencemaran itu menyebabkan penutupan empat loji iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 4:43pm
d