mutakhir

Reman lelaki didakwa liwat budak 8 tahun dilanjutkan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tempoh tahanan reman tukang mesin rumput yang didakwa meliwat budak lelaki lapan tahun dilanjutkan enam hari lagi bermula esok.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad membenarkan lanjutan reman itu bagi membolehkan lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Suspek berusia 26 tahun sebelum ini direman tujuh hari sejak 14 Oktober lalu susulan laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa anak lelakinya diliwat suspek.

Wanita berusia 40-an mendakwa hanya mengetahui kejadian itu selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek yang juga bapa angkatnya pada 13 Oktober lalu ketika mereka berada di rumah di Kuala Nerus.

Mangsa mendakwa suspek yang tinggal serumah dengan mereka melakukan perbuatan terkutuk itu sejak dia berusia enam tahun tetapi tidak bercerita kepada sesiapa kerana takut.

Selain itu, mangsa mendakwa kali terakhir diliwat pada Ogos lalu.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 4:49pm
d