mutakhir

PPS khas untuk mangsa banjir bergejala Covid-19

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyediakan 152 pusat pemindahan sementara (PPS) khas di seluruh negara bagi menempatkan mangsa banjir yang mempunyai gejala Covid-19.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail berkata, PPS khas itu akan diwujudkan di setiap daerah bagi mengelak penularan jangkitan wabak Covid-19 di pusat pemindahan.

Katanya, jangkitan Covid-19 yang melanda negara ketika ini memerlukan lebih banyak persiapan daripada segi aset dan keanggotaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

"Apabila ada mangsa banjir yang datang daripada kalangan mereka yang bergejala, memakai gelang pink kerana berada dalam tempoh kuarantin, mereka ini perlu diberi perhatian.

"Jika ada, kita akan segera ambil tindakan dan diletakkan di PPS khas supaya individu itu tidak bersama dengan mangsa banjir lain.

"Ini memang satu cabaran untuk kita mengenal pasti siapa individu dikuarantin disebabkan Covid-19 terutama jika ada yang bertindak membuang gelang pink yang dipakai," katanya ketika ditemui selepas Program Latihan Tabletop, Pengurusan PPS Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Norhafifi berkata, pihaknya berharap mereka yang bergejala serta memakai gelang perlu jujur dan memaklumkan kepada petugas di PPS.

Katanya, ia penting bagi mengasingkan mereka daripada mangsa banjir yang lain untuk diberikan rawatan dan perhatian khusus oleh pihak KKM.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 5:34pm
d